Pasangan selebriti terkenal dari Korea Selatan, Hyun Bin dan Son Ye Jin mengumumkan khabar gembira kepada seluruh peminat bahawa mereka akan berkahwin dalam masa yang terdekat.
Hyun Bin dan Son Ye Jin yang terkenal dengan drama ‘Crash Landing On You’ memuat naik kenyataan yang mengesahkan bahawa mereka akan berkahwin di lama Instagram masing-masing, semalam.
“Saya telah berjanji dengan wanita yang selalu menceriakan hidup saya (Son Ye Jin) untuk sentiasa berjalan bersama pada hari-hari yang mendatang. Jung Hyuk dan Se Ri, yang memainkan watak tersebut dalam drama itu akan mengambil langkah pertama bersama pada masa hadapan,” tulis aktor Hyun Bin yang diwakili oleh agensinya.

“Saya mempunyai seseorang yang saya mahu menghabiskan sisa hidup bersama. Memang betul. Dialah orang yang anda semua fikirkan (Hyun Bin). Hanya dia yang memberikan saya rasa kemesraan dan kepercayaan,” tulis Son Ye Jin pula di Instagramnya.
Pasangan berusia 40 tahun tersebut dikatakan telah menjalinkan hubungan sejak tahun 2020 lagi selepas tamat penggambaran drama Crash Landing On You tersebut.
Berita mengenai hubungan percintaan mereka itu telah dihebahkan secara rasmi oleh agensi masing-masing pada Januari tahun lalu.
Perkahwinan mereka bakal dibuat disebuah lokasi rahsia di Korea Selatan pada bulan depan yang hanya akan dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan yang rapat sahaja.