Malam semalam, tular satu rakaman video yang menunjukkan sebuah kereta mewah berjenama antarabangsa terlibat dalam satu kemalangan melibatkan dua buah lori muatan berat.
Menerusi rakaman video yang tular tersebut, kereta mewah berjenama Rolls-Royce tersebut terhimpit di antara dua buah lori treler.
Insiden berkenaan berlaku di kawasan Terowong Menora-Ipoh Utara pada sekitar waktu tengah hari yang mengakibatkan trafik dari Sungai Perak ke Ipoh Utara sesah sepanjang 7.5km.
Menerusi beberapa komen yang ditinggalkan di ruangan komen TikTok, kejadian berlaku apabila lori treler di bahagian belakang berada di Lorong kanan kerana pemandu treler tersebut ingin menggunakan pembahagi jalan untuk membantu memperlahankan kenderaan tersebut ekoran terdapat masalah break angin lori tersebut.

Namun, treler tersebut dikatakan terpantul semula ke tengah jalan sekali gus melanggar belakang kereta Rolls-Royce yang berada di depannya.
Disebakan impak yang terhasil, Rolls-Royce tersebut melanggar belakang lori treler Tiong Nam yang berada di hadapannya yang menjadikan kenderaan tersebut seperti ‘sandwich’ kerana dihimpit oleh dua kenderaan berat tersebut.
Walau bagaimanapun, pemandu Rolls-Royce tersebut kelihatan selamat tanpa sebarang luka dan kemalangan tersebut dikatakan tidak meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

Perkara tersebut membuatkan rata-rata netizen memuji ketahanan kereta mewah berkenaan dan menganggap memang wajarlah kenderaan tersebut dijual dengan harga yang tinggi.
Namun begitu, tidak semua wargamaya bersetuju dengan penjelasan yang diberikan oleh salah seorang pengguna yang mengaku sebagai kawan kepada pemandu lori tersebut.
Menurut mereka, lori treler tersebut tetap dianggap melakukan kesalahan kerana memandu di lorong kanan lebuhraya tersebut. Kenderaan berat sepatutnya hanya menggunakan lorong kiri jalan.