Penduduk Malaysia yang berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak untuk mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka sebelum 1 Mac 2022.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bahawa golongan yang disebut itu diminta untuk hadir bagi mendapatkan dos penggalak secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran mereka.
“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan bertukar menjadi tidak lengkap dan individu tersebut tidak lagi layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin.
“Data harian menunjukkan individu yang belum divaksin adalah 9 kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan maut berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak,” kata Menteri Kesihatan tersebut pada sidang akhbar yang dilakukan petang tadi.
Dalam sidang media tersebut, Khairy menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan ketibaan varian Omicron Covid-19 yang menjadi kebimbangan serta bimbingan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya lagi, setakat hari ini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak.