Saturday, September 23, 2023
spot_img
HomeLIFESTYLETahun Baru Cina Bakal Tiba, Apakah Tradisi Yang Sering Dilakukan Oleh Kaum...

Tahun Baru Cina Bakal Tiba, Apakah Tradisi Yang Sering Dilakukan Oleh Kaum Cina?

Perayaan Tahun Baru Cina memang tidak asing lagi di negara kita yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan bangsa. Perayaan Tahun Baru Cina merupakan titik permulaan tahun baru bagi kalendar masyarakat Cina. Ia juga melambangkan permulaan baru dalam nasib dan kehidupan seseorang kaum Cina.

Seperti kaum-kaum lain yang mempunyai tradisi semasa ingin menyambut perayaan, kaum Cina juga tidak terkecuali dari memiliki tradisi mereka tersendiri.

Kebiasaannya, sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina merupakan hari yang penting untuk kaum Cina. Ia merupakan hari dimana semua ahli keluarga akan pulang dan makan besar bersama-sama. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Masyarakat Cina juga percaya, amalan selepas makan malam bersama-sama ahli keluarga perlu diikuti dengan acara ‘Shuo Sui’. Acara ini merupakan amalan berdoa yang diamalkan oleh masyarakat Cina yang dikatakan boleh memberikan umur yang panjang kepada mereka yang berada dimeja makan.

Pada malam ini juga, acara Yee Sang atau Lao Sang juga akan dilakukan. Ia merupakan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang. Kaum Cina percaya, semakin tinggi mereka ‘lao’ semakin banyak rezeki dan kemewahan yang akan diterima.

Pada hari pertama Tahun baru Cina pula, tradisi masyarakat Cina adalah setiap isi rumah perlu bangun dengan sendiri tanpa dikejutkan oleh sesiapa. Hal ini kerana, menurut kepercayaan kaum cina, sekiranya seseorang itu dikejutkan oleh orang lain, kehidupkannya akan kelam-kabut dan sentiasa sibuk sepanjang tahun.

Selain itu, pada hari pertama perayaan ini juga, kaum Cina tidak dibenarkan untuk menyapu dan membuang sampah. Hal ini kerana, pada hari tersebut Dewa Kekayaan atau Zai Xin akan datang ke setiap rumah dan memberi kekayaan kepada setiap keluarga.

Warna pakaian pada hari pertama juga penting bagi kaum Cina. Warna yang sangat digalakkan untuk dipakai pada hari pertama Tahun Baru Cina adalah warna merah. Ia sebagai simbol menghalau jin atau roh jahat. Warna hitam pula dilarang sama sekali untuk dipakai semasa perayaan Tahun Baru Cina. Hal ini kerana, menurut kaum Cina warna hitam merupakan warna yang boleh menarik minat roh jahat.

Pada hari pertama juga, tetamu akan berkunjung ke rumah dengan membawa limau mandarin, yang membawa maksud kekayaan. Tradisi memberi ‘ang pow’ juga akan diberikan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. ‘Ang Pow’ yang diberikan mestilah didalam sampul berwarna merah bagi melambangkan nasib baik.

Pada hari ke-15 perayaan ini, ia dikenali sebagai ‘Chap Goh Mei’. Ia merupakan hari terakhir bagi bulan penuh dan sekali gus menandakan penutup bagi perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar dan bunga api dibakar.

Tanglung juga akan dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei. Kaum Cina yang masih tidak mempunyai pasangan akan menggunakan peluang ini untuk membaling limau yang ditulis nombor telefon mereka ke dalam sungai sebagai signifikasi untuk mencari pasangan.

Kesimpulannya, masyarakat Cina sememangnya penuh dengan tradisi yang pelbagai. Masih ada sesetengah masyarakat Cina yang masih mempercayai adat dan pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang mereka yang terdahulu. Walau bagaimanapun, di kesempatan ini kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyrakat Cina. Huat huat huat!

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -
MIG Online

Most Popular

Recent Comments

Skip to content