KANGAR – Seorang kerani jualan dari sebuah syarikat swasta dikenakan denda sebanyak RM4,500 selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya.
Hukuman terhadap Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, dijatuhkan oleh Majistret Kamaliza Md. Zain selepas tertuduh mengaku bersalah semasa sebutan kes, hari ini.
Tertuduh didakwa memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail berformat PDF lucah dalam telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy A50 tersebut.
Kesalahan tersebut dilakukan di Taman Jelempok Jaya, Kampung Utan Kandis, Arau kira-kira jam 11.30 pagi pada 31 Mac tahun lalu.
Asyraf didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Asyraf Hafizuddin yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda yang minimum kerana ini adalah kesalahan pertamanya selain memohon maaf atas kesilapan itu dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Menurut lelaki itu, dia baru mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama ibu bapa mertua yang bergantung hidup padanya yang hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani Mohamed Fadzil memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran kepadanya.
Selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, tertuduh didapati bersalah dan Majistret Kamaliza menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 atau penjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda.
Walau bagaimanapun, tertuduh membayar denda yang dikenakan terhadapnya dan dibebaskan.