Putrajaya – Vaksin Pfizer untuk golongan kanak-kanak akan tiba pada Jumaat dimana ia merupakan penghantaran pertama bagi negara ini dan akan terus dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak itu bermula 3 Februari ini sebaik sahaja vaksin tersebut tiba di negara kita.
Vaksin Covid-19 jenis Pfizer tersebut akan diberikan kepada kanak-kanak berumur dari lima hingga 12 tahun melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).
Menurut Datuk Dr Noor Azmi Ghazali juga, vaksin yang akan diberikan ini merupakan Vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) dan ia telah terbukti selamat serta berkesan untuk diberi kepada kanak-kanak.
Pada kenyataan sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ada memaklumkan bahawa setiap dos yang diberikan kepada kanak-kanak adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Ia merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan di dalam dos dewasa. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.
Sebelum ini, Badan Kawal Selia Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah meluluskan penggunaan vaksin jenis ini untuk diberikan kepada kanak-kanak berumur dari lingkungan lima tahun ke 12 tahun.
Kajian klinikal telah dilakukan bagi kanak-kanak berusia lima ke 12 tahun dan menunjukkan keberkesanannya sebanyak 90.7 peratus terhadap virus Covid-19 ini.
Negara China, Cuba dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terlebih dahulu telah meluluskan penggunaan vaksin ini untuk kanak-kanak sebelum Amerika Syarikat.