Sejak prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan bagi dunia hiburan termasuklah pembukaan panggung wayang, banyak filem-filem tempatan yang merebut peluang untuk memasuki panggung semula.
Istimewa pada Tahun Baru Cina kali ini, sebuah prequel dan sequel dari filem pecah panggung 11 tahun lalu, Nasi Lemak 1.0 bakal memeriahkan panggung-panggung di seluruh Malaysia dengan gelak tawa penonton filem tersebut.
Nasi Lemak 1.0 merupakan sebuah filem arahan pengarah filem paling kontroversi, Namewee yang mengangkat tema sosiobudaya masyarakat yang berbilang bangsa di dalam filem tersebut.

Pada 21 Januari 2022 lalu, Majlis Tayangan Perdana Filem Nasi Lemak 1.0 telah dijalankan bertempat di Dadi Cinema, Pavilion yang dihadiri oleh barisan pelakon filem itu sendiri seperti Namewee (pelakon dan pengarah), Saiful Apek, Yassin Senario, Karen Kong, Wak Doyok, Sanjna Suri dan Yumi Wong.
Pengarah Namewee memilih barisan pelakon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya agar ia akan lebih memberi ‘warna’ dalam filemnya itu yang bertemakan masyarakat berbilang bangsa.

Di dalam filem ini juga ada menonjolkan tentang silat, tai chi, serta pakaian dari pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia.
Filem berdurasi 1 jam 51 minit ini mengisahkan tentang Hero Huang (Namewee) iaitu seorang tukang masak muda yang suka merakam vlog dan sentiasa berpegang kepada visi iaitu produk yang berkualiti berasal dari proses pembuatan yang lambat.
Namun, ianya telah mendatangkan kemarahan para pelanggan di restoran milik Xiao K. Dihadapan restoran Xiao K pula merupakan restoran ibu saudara Xiao K bersama teman lelakinya iaitu Lan Qiao yang juga merupakan bekas rakan sekelas Hero Huang.
Huang kemudian berentap dengan Lan Qiao untuk menghasilkan resepi nasi lemak terbaik di Malaysia. Ketika pertandingan berlangsung, tiba-tiba dia dibawa ke Zaman Kesultanan Melaka untuk mencari siapakah pembuat nasi lemak pertama di dunia.
Selepas dibawa ke Zaman Kesultanan Melaka itu, pelbagai kisah terjadi dan disitulah bermulanya kisah asal usul sejarah nasi lemak.
Filem ini mempunyai keunikannya tersendiri sehingga mendapat Skim Wajib Tayang oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Filem Nasi Lemak 1.0 yang merupakan naskah yang menghiburkan dengan jalan cerita yang menarik ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 27 Januari 2022 ini.
