TANAH MERAH – Seorang lelaki dipercayai mati lemas ketika ingin menyeberangi sempadan Thailand melalui Sungai Golok di Kampung Jenob, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 2 pagi itu, mayat lelaki yang dikenali sebagai Fikri Nor Azhar, 22, dipercayai dalam perjalanan untuk pulang selepas bertemu dua rakannya.
Mayat lelaki berkenaan yang berasal dari Kampung Buyung, Bukit Bunga, Jeli itu ditemui terapung pada jam 1.12 petang, 12 jam selepas kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, mangsa dikatakan bertemu dua rakannya di selatan Thai sebelum pulang dengan cara mengharung Sungai Golok.
Menurut Mohd Adni Ibrahim, kejadian disedari dua rakannya yang menghantar Fikri di tebing Sungai Golok selepas melihat dia tenggelam dan hilang daripada pandangan mereka.
Rakannya itu kemudian meminta bantuan pasukan bomba Thailand untuk mencari mangsa yang lemas.
“Kita menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 7.47 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mencari mangsa” kata Ketua Balai tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dan BBP Pengkalan Chepa.
Mohd Adni berkata, anggota PPDA mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk mencari mangsa dan mayat mangsa ditemui pada 1.15 petang kira-kira enam meter dari lokasi mangsa didapati lemas.