Kuala Pilah – Seorang pekerja lelaki berusia 54 tahun ditemui mati di kebun sekitar Kampung Temeris, semalam, selepas tidak menjawab panggilan telefon sejak lima hari yang lalu.
Pemilik kebun menyatakan mayat lelaki tersebut di temui dalam keadaan yang sudah bengkak dan mempercayai bahawa pekerja itu telah meninggal beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, pemilik kebun berusia 29 tahun sudah beberapa kali menghubungi telefon mangsa sejak 30 Disember lalu.
“Menurut keterangan majikan, lelaki berkenaan tidak menjawab panggilan telefon sejak hari Khamis lalu dan pada petang semalam, majikannya ke kebun untuk melihat sendiri keadaan lelaki itu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba dia mendapati pekerjanya itu sudah dalam keadaan terbaring. Kali terakhir majikan berjumpa si mati pada dua minggu lalu atas urusan kerja,” katanya.
Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang motif jenayah dan pihak polis mengklasifikasikan kes si mati ini sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun kes masih dalam siasatan. Mayat si mati dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk proses bedah siasat,” tambahnya.
Menurut Superintendan Amran, lelaki berkenaan bekerja sebagai tukang rumah yang juga merupakan warga Indonesia yang mempunyai status sebagai penduduk tetap di sini dan menetap di Beranang, Selangor.