Pada awal November lalu, pelakon dan penyanyi Lufya Omar telah melalukan pembedahan bariatric atau lebih dikenali dengan pembedahan ‘potong usus’.
Walau bagaimanapun, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah binti Sheikh Omar, 37, menegaskan bahawa pembedahan itu dilakukan bukanlah atas tujuan untuk kelihatan cantik atau ingin mencari jodoh.
Prosedur itu dilakukan atas faktor kesihatan memandangkan usianya yang semakin bertambah dan demi mendapatkan semula staminanya seperti dahulu.
“Pembedahan ini berjaya mengawal tahap kolesterol dan penyakit asma yang saya hidapi. Saya kurus bukan untuk kelihatan cantik tapi demi kesihatan.
“Soal jodoh pula, mungkin ada trauma daripada pengalaman perkahwinan lalu. Namun semuanya sudah berlalu dan tak perlu dikenang lagi. Saya bukan buat pembedahan untuk mencari jodoh,” katanya.
Selepas melakukan pembedahan bariatric tersebut, Lufya akui dia mengalami perubahan tubuh badan yang mendadak.
Menurut Lufya, beberapa hari selepas dia melakukan pembedahan tersebut, beranya turun sebanyak tiga kilogram dan hilang 11 kilogram lagi selepas sebulan melakukan pembedahan tersebut.
“Sebenarnya saya sendiri tidak sedar saya telah ‘obestiti’ sehingga anak saya yang tegur dan saya dapati saya cepat semput walaupun hanya lakukan kerja ringan,” ujarnya.
Lufya juga berazam untuk menurunkan lagi berat badannya agar mendapat berat yang seimbang seperti zaman mudanya dahulu.