Saturday, September 23, 2023
spot_img
HomeHIBURANMenjadi Wajah Baharu Menggantikan Siti Sarah, Anzalna Akui Sebak

Menjadi Wajah Baharu Menggantikan Siti Sarah, Anzalna Akui Sebak

Sebelum ini gerangan ‘Wanita Misteri’ yang sering dimuat naik di laman Instagram Lovetahq yang juga merupakan jenama tudung yang dibangunkan oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin menjadi tanda tanya kepada ramai pengikutnya di laman sosial tersebut.

Walau bagaimanapun, gerangan ‘Wanita Misteri’ itu sudah terjawab apabila pelakon jelita, Anzalna Nasir mengumumkan sendiri berita tersebut kepada pengikutnya di Instagram malam semalam dengan memuat naik klip video yang memaparkan dirinya sebagai ‘Wanita Misteri’ yang sering menjadi teka-teki pengguna Instagram.

Pada awalnya Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 33 agak sukar membuat keputusan untuk menerima tawaran menjadi wajah terbaharu jenama tudung Loveta tersebut sehingga banyak kali bertanyakan hal tersebut kepada suaminya, Hanif Zaki.

“Masa Lovetahq hantar mesej dan tanya untuk kerjasama ini, Anzalna macam berbelah bahagi sebab tudung Loveta ni memang dah sinonim dengan nama arwah. Banyak kali Anzalna tanya pendapat Hanif,” tulisnya di kapsyen Instagram.

Menerusi klip video yang dimuat naiknya itu, jelas sekali Anzalna gagal menahan air matanya apabila perlu melakukan penggambaran bersama anak Allahyarham untuk jenama yang diusahakan sendiri oleh Sarah. 

Anzalna akui dia gagal menahan sebak semasa penggambaran koleksi tudung tersebut sehingga kesedihan tersebut dirasai oleh anak perempuan Allahyarham, Talita dan ibu tiri Sarah, Siti Fatimah Suberi yang turut sama mengalirkan air mata.

“Sesi penggambaran yang dijalankan sangat menyentuh hati. Minta maaf sekiranya saya tidak dapat memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran disebabkan terlalu emosi. Saya sangat rindukan arwah. Al- fatihah buat arwah Siti Sarah,” katanya.

Dalam entri yang sama, Anzalna turut memberitahu sejak mula berhijab, dia banyak menerima tawaran daripada jenama tudung terkemuka dari dalam dan luar negara tetapi Loveta menjadi pilihannya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -
MIG Online

Most Popular

Recent Comments

Skip to content