PUTRAJAYA – Ibadah umrah ke Makkah berkemungkinan akan ditangguhakan oleh pihak kerajaan jika penularan varian of concern (VOC), Omicron di Arab Saudi terus meningkat dan jangkitan virus tersebut dalam kalangan jemaah tempatan berada pada tahap yang membimbangkan.
Namun Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi sekarang belum sampai ke tahap untuk mengangguhkan ibadah umarah tersebut lagi dan kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
“Buat masa ini, jemaah yang baru pulang ke Malaysia akan dipakaikan peranti digital untuk memudahkan pemantauan dilakukan oleh pihak KKM.
“Jika situasi makin serius, kita mungkin akan meletakkan jemaah yang baru pulang ke pusat kuarantin dan langkah terakhir barulah kita akan laksanakan penangguhan untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya.
Menurut Khairy, situasi penularan VOC tersebut masih dipantau dan langkah-langkah kesihatan lain juga sedang diteliti oleh pihak KKM.
Pihak KKM juga akan berbincang dengan syarikat yang mengendalikan pakej umrah untuk memastikan setiap jemaah yang bakal menunaikan umrah perlu mengambil dos penggalak terlebih dahulu sebelum menunaikan ibadah tersebut.
Tambah Khairy, jemaah yang telah selamat pulang ke Malaysia diminta untuk melakukan ujian saringan kendiri setiap hari sepanjang tempoh kuarantin untuk membendung penularan varian Omicron tersebut.