MELAKA – Seorang warga emas berusia 72 tahun merupakan antara 139 individu yang ditahan dalam Op Tokan Jalanan selepas dipercayai terlibat sindiket pengedaran dan penagihan dadah di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, kesemua individu tersebut ditahan dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.
Menurut Superintendan Mohd Akmal Abdullah, individu yang ditahan itu melibatkan 127 lelaki termasuk dua warga asing, 12 wanita, kesemua individu ini berusia antara 18 hingga 72 tahun.
“Empat daripada individu yang ditahan ini mempunyai waran tangkap yang membabitkan kes urin serta dua individu lagi dikenal pasti untuk diambil tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan khas.
“Pihak JSJN turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk air dan daun ketum yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM26,500.
“Ujian air kencing juga dilakukan dan hasil ujian saringan awal mendapati kesemua yang ditangkap positif dadah. Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 juga diambil dengan nilai sitaan RM10,000 yang membabitkan rampasan dua buah motosikal,” katanya.
Individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953, Seksyen 39A, Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 ADB serta Seksyen 30(3) Akta Racun.