KUALA LUMPUR – Lapan rumah di Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras hangus dijilat api, tengah malam semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran itu berlaku kira-kira jam 9.20 malam semalam.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah blok sebelum terus merebak ke keseluruhan tingkat empat perumahan awam tersebut.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dari sebuah rumah dan merebak ke rumah yang lain,” katanya.
Setakat harini ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan yang melibatkan penghuni perumahan awam tersebut namun pihak bomba masih lagi melakukan penyiasatan lanjut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran telah memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL)," katanya.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim turut sama melawat lokasi kebakaran tengah malam semalam.
Perdana Menteri sempat mengumumkan bahawa setiap ketua isi rumah yang terlibat dalam kebakaran di perumahan awam tersebut akan menerima bantuan sebanyak RM1,000.
“Seperti yang saya umumkan di Selangor semalam mengenai bantuan untuk mangsa bencana, kebakaran ini juga merupakan bencana, jadi kita akan berikan RM1,000 kepada mereka yang terlibat yang menjadi mangsa kebakaran,” katanya semasa melawat kawasan kebakaran itu malam tadi.
Selain itu, Ismail Sabri juga berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan rumah baharu untuk lapan keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Tinjauan mendapati api yang marak itu dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira jam 11.30 malam semalam.