Pelakon Mira Filzah, akui tidak terasa hati dengan netizen yang mengatakan dirinya kini sedang hamil anak pertama.
Menurut Mira Filzah sendiri, dia sangat memahami keterujaan yang dirasai orang ramai, lagi-lagi peminatnya sendiri yang menunggu perkhabaran berita gembira tersebut daripada dia dan suami.
“Sejujurnya saya tidak ambil hati atau marah, sebaliknya saya anggap apa yang dikongsikan itu sebagai satu doa yang baik untuk saya dan Emir.
“Saya tahu soal zuriat adalah satu berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat, jadi biarlah mereka terus memanjatkan doa kerana mana tahu dalam ramai-ramai yang berdoa, Allah makbulkan permintaannya,” kata pelakon jelita itu.

Mira menegaskan bahawa dia tidak akan merahsiakan berita kehamilannya kepada orang ramai dan peminatnya dan akan memberitahu umum tentang kehamilannya apabila masanya sudah tiba.
Berita kehamilan merupakan berita yang baik untuk dikongsikan kepada umum namun buat masa ini Mira mengatakan bahawa tiada apa yang boleh dia dan suami kongsikan lagi.
“Insha-Allah, jika ada sebarang perkembangan saya akan beritahu kepada semua,” tambah Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman.
Mira Filzah telah mendirikan mahligai bersama suaminya, Wan Emir Astar pada 3 September tahun lalu.