DADOMA: Tujuh orang terkorban termasuk seorang kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun selepas menikmati hidangan daging penyu.
Hidangan berasaskan daging penyu itu sering dinikmati oleh penduduk setempat di kepulauan negara Tanzania itu sejak dahulu lagi. Namun begitu, hidangan daging penyu itu sudah diharamkan selepas daging penyu didapati mengandungi bahan toksik yang boleh membunuh.
Memetik laporan dari BBC, Ketua Polis Pulau Pemba, Juma Said Hamis berkata, ketika kejadian tersebut terdapat sekurang-kurangnya lima keluarga yang sedang menikmati hidangan penyu tersebut.
Dalam kejadian di Pulau Pemba, Tanzania pada Khamis lalu itu, seramai 38 individu telah dikejarkan ke hospital selepas menikmati hidangan tersebut. Namun begitu, individu-individu tersebut telah dibenarkan pulang, hanya 3 orang sahaja lagi yang masih dirawat di hospital. Mangsa yang masih dirawat dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.
Daripada tujuh mangsa yang terkorban itu, tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat manakala empat lagi pada hari Ahad.
Menurut laporan agensi berita Agence France-Presse (AFP), seramai 19 individu termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan daging penyu di Madagascar, Mac lalu.
Selain pernah berlaku di Tanzania dan Madagascar, insiden ini juga pernah dilaporkan di Indonesia, Micronesia dan kepulauan Lautan Hindi.