Gerhana bulan separa yang terpanjang dijangka berlaku pada hari ini (19 November 2021). Gerhana bulan separa pada kali ini dikatakan gerhana yang paling lama akan berlaku sepanjang abad ini. Menurut National Aeronautics and Space Administration (NASA), fenomena alam ini akan berlaku selama 3 jam. Ia dianggap tempoh paling lama kerana pada kebiasaannya, gerhana bulan ini akan berlaku dalam tempoh dua jam sahaja.
Gerhana bulan ini akan terjadi apabila bulan melewati bayangan bumi. Ini hanya boleh berlaku pada malam bulan penuh apabila matahari, bumi, dan bulan adalah tepat atau sangat rapat sejajar (dalam syzygy), dengan Bumi antara dua yang lain. Jenis dan tempoh gerhana bulan ditentukan oleh jarak bulan kepada salah satu nod orbitnya.
Namun begitu, gerhana bulan separa pada kali ini tidak dapat disaksikan oleh penduduk Malaysia kerana ia hanya akan dapat dilihat di Amerika Utara dan Lautan Pasifik, Eropah Barat, Timur Australia, New Zealand dan juga Jepun.
Fenomena gerhana bulan ini akan bermula kira-kira pada pukul 3 petang waktu tempatan. Hal ini jelas sekali membuatkan Malaysia terlepas peluang untuk melihat fenomena ini kerana bulan masih belum terbit pada ketika itu.
Gerhana bulan yang bakal terjadi pada hari ini merupakan gerhana terakhir bagi tahun 2021.